Berita Terkini

Sejarah Ringkas

Sejarah Pembinaan Pusat Islam Bersepadu Bandar Enstek

Latar Belakang Bandar Enstek
Bandar Enstek, Negeri Sembilan Darul Khusus, sebuah bandar yang dibangunkan pada tahun 2002. Ia berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mengandungi lebih daripada 2000 unit rumah dengan anggaran penduduk seramai 10,000 orang.
Sebagai sebuah bandar yang lengkap, Bandar Enstek terdiri daripada kawasan perumahan, industri, pengajian, institusi dan komersial yang sedang giat dibangunkan.

Keperluan Masjid di Bandar Enstek
Walaupun kawasan ini telah dibangunkan semenjak 2002 dengan 95% penduduk beragama islam, ia masih belum mempunyai bangunan Masjid sendiri untuk kegunaan penduduk. Pada masa ini, penduduk menggunakan masjid berhampiran seperti Masjid Kuarters KLIA, Masjid Jamek LBJ dan Masjid Kg Jijan sehinggalah ke Masjid Pekan Salak atau Masjid Bandar Baru Nilai.

Konsep / Rekabentuk Pusat Islam Bersepadu
Susulan keperluan sebuah masjid di bandar enstek, sebuah Pusat Islam Bersepadu dirancang dan pada masa ini sedang dibangunkan di atas tapak seluas 2.029 hektar dengan rekabentuk berunsurkan tropika dan digabungkan dengan konsep Islam Timur Tengah. Pusat Islam Bersepadu ini terdiri daripada Pusat Komuniti Islam ( telah siap dan digunakan ) dan Bangunan Masjid ( dalam pembinaan ).

Pusat Komuniti Islam
Pembinaan Pusat Komuniti Islam bermula 13 November 2014 dan siap sepenuhnya pada 12 Disember 2015. Pusat ini telah dirasmikan oleh Y.A.B Dato' Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Jun 2016. Pada masa ini pusat komuniti islam ini menerima tempahan penggunaan daripada penduduk bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti sukan badminton dan penganjuran majlis.

Pembinaan Bangunan Masjid
Walaupun kelulusan pembinaan masjid telah diberikan pada 8 November 2011, bangunan masjid hanya mula dibina pada 9 November 2017 atas beberapa faktor terutama kekurangan dana pembinaan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan Jawatankuasa Penaja dan Pembinaan Masjid Bandar Enstek termasuk mengadakan kutipan sumbangan daripada ahli kariah dan penderma luar serta permohonan dana daripada THP. Dana Pembinaan sebanyak RM4.4 juta telah dikutip membolehkan projek pembinaan ini dimulakan. Majlis perasmian pembinaan Masjid Bandar Enstek disempurnakan oleh Y.A.B Dato' Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan pada 8 Mei 2017.
Sebelum pembinaan dimulakan, MAINS telah mengadakan penetapan arah kiblat pada 20 November 2017. Pada masa ini, bangunan masjid sedang giat dibangunkan dan dijangka siap pada Mac 2019. Ahli kariah Bandar Enstek di dijangka dapat mengadakan solat pertama di Masjid ini pada April 2019.

No comments